Khamis, 14 November 2013

Dua jiran disamun empat lelaki berparang

Gambar hiasan - empat penjenayah ditembak mati
BENTONG - Dua buah rumah di Taman Meranti dekat sini disamun empat empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan sebilah parang serta dua batang besi awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, kedua-dua anggota keluarga terbabit turut diikat. Menurut Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor, dalam kejadian pertama kira-kira 4 pagi, empat suspek memasuki sebuah rumah yang dihuni seorang wanita berusia 41, anak lelakinya yang berusia 11 tahun dan ibu wanita itu yang berusia 60 tahun.

"Semua mangsa sedang nyenyak tidur. Suspek  memasuki rumah mangsa dengan memotong besi jeriji dan mengumpil pintu bahagian tepi rumah.

"Suspek kemudiannya mengikat semua mangsa dengan menggunakan tali langsir sebelum menggeledah rumah mangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata ketika kejadian, suami wanita itu yang juga seorang pengurus sebuah syarikat insurans tiada di rumah.

"Suspek kemudiannya melarikan barangan kemas, wang tunai, dua buah i-pad dan sebuah telefon bimbit dan kos kerugian dianggarkan RM30,000," katanya.

Selepas kejadian itu, suspek memasuki pula rumah jiran mangsa bersebelahan melalui bahagian dapur selepas memotong jeriji besi.

"Suspek mengejutkan mangsa yang merupakan pasangan suami isteri berusia 40-an yang mengusahakan perniagaan kedai telefon bimbit di bandar ini," katanya.

Suspek kemudiannya bertindak mengikat pasangan suami isteri terbabit bersama dua anak perempuan mereka yang berusia sembilan dan tujuh tahun serta adik ipar perempuan mangsa yang berumur 35 tahun.

Kata Mohamad Mansor, pasangan suami isteri itu kerugian wang tunai bernilai RM15,000.

Katanya, polis sedang memburu semua suspek yang dipercayai warga asing dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...