Khamis, 14 November 2013

Salah guna kad Rela


PETALING JAYA – Kad Keahlian anggota Rela tidak boleh disalahgunakan menjadi sebagai kad kuasa.

Pegawai Rela Daerah Petaling, Khairul Amri Shahrul berkata, kad keahlian Rela hanya boleh digunakan sebagai pengenalan diri yang mengesahkan pemegangnya merupakan ahli Rela.

Pihaknya kesal kerana ada individu yang menyalahgunakan kad kuasa tersebut untuk tujuan lain.

“Jika sekiranya ada tangkapan contoh melibatkan kecurian, pesalah terbabit harus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika taklimat Kursus Asas Rela Daerah Petaling ( Siri 3) , di Apartment idaman, Damansara Damai, kelmarin.

Beliau mendapat aduan terdapat segelintir pihak yang menggunakan kad tersebut untuk melakukan peras ugut.

“Kita tidak berkompromi dalam hal ini, jika ada ahli Rela terlibat tindakan tegas akan dikenakan terhadapnya termasuk keahlian boleh dilucutkan,” katanya.

Difahamkan Rela Daerah Petaling kini mempunyai keanggotaan seramai 300,000.

Dalam pada itu Pengerusi Persatuan Penduduk Apartment Idaman, Azizan Suradi berkata, penubuhan Rela di kawasan perumahan itu secara tidak langsung membantu untuk memastikan tahap keselamatan di situ berada pada tahap terbaik.

“Ahli persatuan penduduk dan ahli jawatankuasa biro keselamatan juga merupakan ahli Rela, selain dapat menerapkan disiplin dalam diri, ianya juga boleh membantu mencegah jenayah terutama melibatkan kes kecurian,” katanya.

Menurutnya, banyak faedah  dapat diperoleh dengan menganggotai badan beruniform  yang juga boleh menarik golongan muda menyertai aktiviti bercorak kemasyarakatan setempat.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...