Sabtu, 16 November 2013

26 pengikut Tuhan Harun diminta bantu siasatan

26 pengikut Tuhan Harun diminta bantu siasatan

KUANTAN - Seramai 26 individu yang dipercayai pengikut ajaran sesat 'Tuhan Harun' diminta tampil membantu pihak polis bagi menyelesaikan kes tembak Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mereka terbabit diminta tampil di mana-mana balai polis bagi membantu pihak polis menyelesaikan kes itu.

"Mereka termasuklah pengasas ajaran sesat itu iaitu Harun Mat Saat, 47; Husin Ismail, 43; Pius Anahong@ Mahdi Abdullah, 40; Mohd Khalilie Zazali, 31; Syahiszam Soid, 40; Mohd Shahril Mohd Jaafar, 28, dan Azida Mohd Zol, 30 tahun, yang telah dikeluarkan waran tangkap sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mereka yang lain ialah Mohd Hafizuddin Mohd Azam, 27; Mohamad Tirmidzi Othman, 17; Hashim Zakaria, 38; Farhaien Othman, 22; Lukman Harun, 20; Mohd Ghazali Fitri Mohd Azam, 2;, Muhammad Nazrul Zakaria, 38.

Mohd Rozi Akasah, 38; Shamsul Amri Abu Hassan, 44; Saufi Harun, 18; Norhafizah Mohd Azam, 28; Mohd Edham Mohd Nizam, 18; Khairul Amir Akasah, 34; Sharizal Shamsuddin, 32; Muhammad Harun, 21; Norhairi Harun, 41; Shazliana Mokhtarudin, 29; Othman Abdullah, 48; Kheairus Ali, 47, dan seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun.

"Sebelum ini polis meminta 31 pengikut ajaran itu tampil membantu siasatan, empat daripada mereka telah tampil membantu pihak polis pada 12 dan 13 November lepas," katanya.

Pihak polis hari ini turut mengedarkan 27 gambar mereka terbabit kepada pihak media.

Mohd Jasmani berkata, mereka terbabit tidak perlu takut untuk tampil membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan pengikut ajaran itu juga diminta membantu pihak polis," katanya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani sebelum ini berkata, pihak polis percaya kematian Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Allahyarham Mohd Raffli Abdul Malik yang ditembak bermotifkan dendam atau tidak berpuas hati dengan Allahyarham dengan penguatkuasaan yang dijalankan.

Dalam kejadian Ahad lepas pada jam 1.55 petang, Mohd Raffli, 49, maut selepas ditembak tiga das oleh seorang daripada tiga suspek yang datang berjumpa mangsa di kediamannya di Indera Mahkota 2, Kuantan.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Raffli sedang mengendalikan beberapa kes besar termasuk memantau kegiatan pengikut fahaman Syiah serta ajaran Tuhan Harun.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...