Gambar hiasan |
TELUK LIPAT – Seorang doktor sebuah klinik swasta kerugian kira-kira
RM23,000 selepas beg tangannya yang mengandungi barangan berharga termasuk wang
tunai dilarikan peragut di rumahnya, dekat sini, tengah malam semalam.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dipercayai berlaku ketika
doktor wanita berusia 45 tahun terbabit tiba di banglonya sebaik pulang dari
klinik yang terletak di jalan Paka-Dungun.
Ketika sedang membuka pintu rumah selepas meletakkan kenderaan di garaj,
tiba-tiba mangsa yang merupakan isteri kepada seorang usahawan tempatan,
didatangi seorang lelaki tidak dikenali dari arah belakang lalu menyentap beg
tangannya.
Difahamkan, berlaku sedikit pergelutan antara suspek dan mangsa dalam
usaha peragut itu meloloskan diri sebelum suspek beredar dengan menaiki sebuah
kereta Perodua Kelisa yang sedang menunggunya di lokasi berhampiran.
Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub yang
mengesahkan kejadian itu berkata, sebaik menerima maklumat, anggota Unit Kereta
Peronda berusaha mengesan suspek lalu terserempak dengan sebuah kereta Perodua
Kelisa dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak mengejarnya.
Menurutnya, kereta terbabit berjaya ditahan berdekatan Masjid Seberang
Pintasan, namun difahamkan pemandunya bukanlah suspek diburu.
"Suspek berkemungkinan melarikan diri selepas melihat kelibat polis
kerana tidak memiliki lesen memandu. Sehubungan itu, kita kini sedang giat
memburu suspek," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zailani menafikan dakwaan dalam laman sosial
bahawa berlaku kes samun melibatkan penjenayah bersenjatakan parang sehingga
suspek ditahan di Seberang Pintasan bersama kenderaan dinaikinya.
“Kita harap orang ramai tidak menyampaikan berita palsu. Perbuatan tidak
bertanggungjawab ini boleh mewujudkan pelbagai spekulasi dan persepsi negatif
terhadap keharmonian di sini.
"Oleh itu, rujuk pada kami terlebih dahulu sebelum menyebarkan
sesuatu maklumat," katanya.
Sumber:sinarharian