Jumaat, 10 Januari 2014

Mayat lelaki berulat ditemui di Ara Kuda

TASEK GELUGOR - Bau busuk yang dihidu beberapa penduduk kampung yang mencari tumbuhan hutan di Kampung Acih, Ara Kuda di sini membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan berulat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, mayat lelaki yang dipercayai warga Myanmar itu ditemui oleh penduduk kampung pada pukul 1.30 petang.
Polis menemui satu kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) dipercayai milik mangsa berhampiran lokasi kejadian, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu dipercayai telah mati sejak dua minggu lepas berdasarkan keadaan mayatnya dan polis tidak menolak kemungkinan dia mati di tempat lain sebelum dibuang di kawasan hutan itu.
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...