Khamis, 9 Januari 2014

POLIS TERENGGANU BURU SEORANG KONTRAKTOR PUKUL PENJAWAT AWAM DI BESUT



Kuala Terengganu, 9 Jan - Polis Terengganu kini sedang giat memburu seorang kontraktor yang dipercayai terlibat dalam kes pukul seorang petugas Yayasan Islam Terengganu, Mohd Noor Mat, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata polis telah melakukan serbuan di rumah suspek berusia 51 tahun itu di Besut, namun gagal mengesannya.

"Kita telah mengenal pasti suspek utama yang terlibat dan kita minta suspek tampil menyerah diri ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, suspek dipercayai sedang bersembunyi di tempat lain dan yakin dia dan beberapa individu lain akan diberkas dalam masa terdekat.

Kejadian berlaku pada kira-kira 1.50 petang di hadapan Dewan Gong Kemuntong ketika Mohd Noor, 47, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Raja, Jerteh, Besut.

Mangsa telah disekat sekumpulan lelaki sehingga berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditumbuk dan dipukul.

Akibat pukulan itu, mangsa mengalami kecederaan pada muka dan badan dan telah dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan serta dibenarkan keluar pagi, semalam.

Sementara itu, Manoharan meminta pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan penyebaran fitnah yang mengatakan mangsa telah meninggal akibat pukulan itu.

Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap individu yang menyebarkan berita kematian mangsa melalui laman sosial Facebook. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...