Khamis, 9 Januari 2014

POLIS JALANKAN SIASATAN LANJUT KES PADERI



Putrajaya, 9 Jan - Pejabat Peguam negara meminta polis menjalankan siasatan lanjut terhadap kes seorang paderi Katolik mengeluarkan kenyataan berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh orang bukan Islam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata polis akan mengemukakan semula kertas siasatan kes itu secepat mungkin.

Menurut beliau adalah agak biasa bagi Pejabat Peguam Negara mengembalikan kertas siasatan dan meminta polis menjalankan siasatan lanjut.

"...dan kami akan melakukannya. Untuk kes ini, tidak banyak perkara yang diarah untuk kita (polis) lakukan dan kita boleh urus dalam masa yang singkat," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena pelancaran Rangka Tindakan Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Polis Diraja Malaysia di lobi Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata Paderi Lawrence Andrew, yang juga editor akhbar mingguan Katolik, The Herald, tidak akan dipanggil semula untuk direkod kenyataannya.

Polis Selangor menyerahkan kertas siasatan kes itu kepada Pejabat Peguam Negara semalam. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...