Sabtu, 4 Januari 2014

Polis pantau isu kalimah Allah


KLANG 2 Jan. - Polis akan memanggil Paderi Lawrence Andrew bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya baru-baru ini supaya semua gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka.

Pengarang The Herald itu akan dipanggil memberi kenyataan dalam tempoh terdekat ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan selepas menerima aduan serta laporan daripada orang ramai mengenai kenyataan Andrew itu.

"Kami sedang memantau isu ini. Saya berharap semua pihak bertenang dan mematuhi undang-undang.

"Isu sensitif seperti ini perlu dikawal kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekecohan," katanya kepada pemberita pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Klang Selatan di sini hari ini.

Semalam, kesemua 22 Bahagian UMNO Selangor membuat laporan polis berhubung kenyataan Andrew itu.

Berdasarkan laporan dalam sebuah portal berita, Andrew memberi alasan kononnya setiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal keagamaan mereka sendiri.

Kenyataannya itu mendapat kecaman dan tuntutan permohonan maaf pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana melanggar Enakmen Agama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Pengembangan di Kalangan Bukan Islam) 1988 yang digubal selaras Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, ia juga bercanggah dengan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes Rayuan Sivil pada 14 Oktober lalu yang menetapkan bahawa kalimah Allah bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan penganut Kristian.

Mohd. Shukri memberitahu, polis akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengenai tindakan serta langkah menangani isu sedemikian.

Sementara itu, majlis serah terima tugas tersebut menyaksikan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan yang baharu menggantikan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkuat kuasa hari ini.

Kamarul Zaman sebelum ini Penolong Pengarah Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman. Mohamad pula akan menjadi Timbalan Komandan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...