Sabtu, 4 Januari 2014

Tiga Lelaki Termasuk Konstabel Polis Didakwa Rompak Pelajar


KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Tiga lelaki termasuk seorang konstabel polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Jumaat terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang pelajar kolej, Disember lepas.

Konstabel Md Harris Abd Rashid, Azly Abd Aziz dan Rozali Ahmad bersama-sama tiga lagi yang masih bebas didakwa merompak sebuah telefon bimbit jenis iPhone 5 milik Farith Rayyen Akop, 19, di sebuah bilik hotel di Jalan Cheras, di sini, pada 12.45 tengah malam 25 Dis lepas.

Md Harris, 35, dari Ibu Pejabat Polis Serdang; Azly, 33, kontraktor dan Rozali, 30, pekerja di syarikat pembinaan, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Bache membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Feb untuk sebutan semula kes.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad manakala Azly diwakili peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab dan Harris diwakili peguam Mohamad Zaidi Ismail. Rozali tidak diwakili peguam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...