Rabu, 8 Januari 2014

Suri rumah disamun ketika sedang berkebun

gambar hiasan

ALOR SETAR - Seorang suri rumah kerugian kira-kira RM5,000 selepas barang kemas yang dipakainya disamun ketika dia sedang berkebun di hadapan rumahnya di Taman Seri Kota, Kuala Kedah dekat sini.

Salehah Salleh, 54, berkata kira-kira pukul 10.15 pagi tadi, dia didatangi lapan lelaki yang menaiki empat buah motosikal.

"Akak tengah bersihkan pokok-pokok bunga di luar. Tiba-tiba ada orang datang dari arah belakang dan tekan kepala akak sebelum menyelak tudung yang dipakai.

"Mereka selak tudung sebab nak tengok akak pakai rantai atau tidak tapi nasib baik akak dah cabut (buang) rantai awal-awal kerana berpeluh. Tapi mereka berjaya ambil rantai tangan yang akak pakai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya dia tidak perasan akan kehadiran kumpulan itu kerana dia sedang menghadap bahagian dinding rumahnya.

Salehah berkata sebelum itu dia dan suaminya Ibrahim Mahmud, 63, ternampak kumpulan itu lalu di hadapan rumah mereka namun tidak mengesyaki apa-apa.

"Awal tu mereka dah lalu, jadi akak dan abang tak syak apa-apa. Tapi lepas beberapa minit mereka berpatah balik.

"Akak menjerit minta tolong dan suami akak berlari keluar tapi tak sempat berbuat apa-apa sebab mereka terus melarikan diri," katanya.

Ibrahim berkata dia sedang menjaga cucunya yang berumur dua bulan di dalam rumah sebelum mendengar isterinya menjerit meminta tolong.

"Bila dengar akak menjerit, abang terus keluar rumah tapi masa tu mereka semua terus naik motosikal dan beredar dari situ. Abang lihat seorang sahaja yang turun menyamun manakala yang tujuh lagi ada di atas motosikal masing-masing," katanya.


Dia berkata ini merupakan kali pertama kejadian samun berlaku di taman perumahan itu selepas hampir 20 tahun menetap di situ. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...