Ahad, 6 April 2014

KERJASAMA PDRM, ATM DIMENSI BAHARU USAHA JAGA KESELAMATAN PENDUDUK LABUAN



Labuan, 5 April - Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-8 (NBOS-8) memberi dimensi baharu dalam kerjasama kedua-dua pihak menjaga keselamatan Labuan.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata kejayaan pelaksanaan NBOS ke-8 juga memberi perakuan bahawa polis dan tentera boleh menjadi satu entiti dalam tugas menjaga keselamatan di pulau bebas cukai itu.

Beliau berkata menerusi program NBOS itu, pasukan keselamatan mampu mempertingkat keberkesanan komunikasi dan memupuk semangat perpaduan kedua-dua pihak.

"Kejayaan inisiatif bersama ini turut memperlihatkan keharmonian di sini terus terpelihara. Perkara utama ialah memastikan masyarakat di pulau ini dapat hidup dalam keadaan aman damai tanpa dibelenggu ancaman," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Terbuka PDRM dan ATM di bawah NBOS-8 hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, Panglima 2 Divisyen Udara (TUDM) Mejar Jeneral Datuk Ansar Ali Mejetih dan Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Adzhar Othman. 

Rozman juga berkata susulan pelaksanaan NBOS sejak 2011, indeks jenayah seluruh negara merekodkan penurunan, termasuk di kawasan rondaan bersama PDRM dan ATM.

Beliau berkata pada 2011, kes jenayah menurun kepada 20,406 berbanding 23,932 bagi tahun 2010 dan bagi tahun 2013 pula, kes jenayah yang dilapor ialah 16,478 kes berbanding 18,809 pada 2012. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...