Ahad, 6 April 2014

Usah terpengaruh lambakan maklumat tragedi dalam media sosial


KLANG: Golongan belia dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan lambakan maklumat tidak tepat yang disebar menerusi media sosial mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan berkata, mereka harus bijak menilai fakta yang dipaparkan dan tidak terus mempercayai sepenuhnya jika terdapat sebarang perbezaan maklumat daripada apa yang didedahkan kerajaan. 

"Mereka jangan mudah terpedaya dengan tindakan pihak tertentu, sama ada mana-mana saluran media atau pun media sosial yang suka melemparkan tuduhan kononnya kerajaan selama ini menyembunyikan fakta sebenar mengenai tragedi itu," katanya selepas merasmikan persidangan Tahunan Ke-7 Persatuan Malaysia Pranava Yoga Theraphy Centre di sini hari ini. 

"Belia jangan percaya maklumat yang disebar itu sebagai sesuatu yang benar sedangkan kerajaan kita berusaha keras mencari pesawat berkenaan dan mendedahkan apa saja maklumat yang kita terima kepada umum," katanya. 

Tambahnya, tragedi pesawat MH370 itu bukan sekadar isu negara ini, tetapi ia adalah isu antarabangsa kerana turut melibatkan kehilangan rakyat pelbagai negara antaranya China, Amerika Syarikat dan Australia. 

Sehubungan itu katanya, usaha Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk menambah baik modul latihan pengurusan media sosial terhadap pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah tepat pada waktunya. 

Menyifatkan masalah kekeliruan fakta dan persepsi dalam kalangan golongan muda kini semakin ketara, Saravanan berkata langkah itu diharap dapat memberi panduan kepada para belia dalam mengadaptasi sebarang maklumat yang diterima. 
Beliau berkata modul itu yang dipupuk pada peringkat awal juga dilihat mampu menangani masalah penyebaran maklumat tidak tepat serta tidak berasas menerusi pengunaan media sosial kelak. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...