Isnin, 26 Mei 2014

AL-FATIHAH : Anggota Polis Maut, Rakan Cedera Parah Dirempuh Penjenayah


TELUK INTAN: Seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotor (URB) maut manakala rakan setugasnya cedera selepas dirempuh sebuah kereta dinaiki penjenayah di Batu 10, Parit Buntar menghala ke Alor Pongsu tengah hari Isnin. 

Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, maut di tempat kejadian, manakala rakan setugasnya yang belum dikenal pasti identitinya cedera parah. Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata Allahyarham MohdAzuan yang berasal dari Kulai, Johor akan melangsungkan perkahwinan pada Ahad ini. 

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari tadi, kedua-dua mereka daripada unit rondaan bermotor Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dilanggar oleh suspek yang baharu sahaja terlibat dalam satu kes samun dekat Alor Pongsu, katanya kepada pemberita di IPD Hilir Perak, Isnin.   

Beliau berkata kedua-dua mereka yang bertindak atas maklumat daripada orangawam tentang satu kejadian samun sebuah van rokok telah mengejar suspek dan van rokok. 

"Mangsa mengejar sebuah kereta jenis Toyota Wish yang dinaiki suspek bagaimanapun dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Honda Civic dipercayai dinaiki oleh rakan suspek menyebabkan mangsa tercampak ke dalam parit," katanya. 

Acryl Sani berkata polis masih belum mengenal pasti identiti suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut. 

"Suspek agresif dan berbahaya dan mereka akan menggunakan apa juga langkah untuk melepaskan diri daripada ditahan oleh pihak berkuasa," katanya. 

Beliau berkata gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...