Isnin, 26 Mei 2014

POLIS NASIHAT ORANG RAMAI TIDAK BERKUNJUNG KE THAILAND BUAT SEMENTARA WAKTU


Arau, 26 Mei - Orang ramai khususnya penduduk Perlis dinasihatkan supaya tidak berkunjung ke Thailand untuk sementara waktu sebaliknya hadir memeriahkan temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 yang sedang berlangsung di negeri ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron yang memberi nasihat itu berkata mereka boleh mengunjungi negara jiran itu apabila keadaan pulih.

"Keadaan keselamatan di negara (itu) sekarang tidak menentu. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Jadi eloklah kita berada dalam negara," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas penyerahan tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Arau, Supt Nazri Hussain kepada timbalannya, DSP Ishak Baharom yang memangku jawatan itu.

Nazri yang dinaikkan pangkat ACP akan memegang jawatan Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur mulai bulan hadapan.

Zull Aznam berkata keadaan di Thailand yang belum reda dari pergolakan politik tidak selamat untuk orang ramai berkunjung dan adalah wajar keselamatan diri diutamakan.

"Saya harap rakyat Perlis dan mereka yang datang dari luar negeri ini serta peserta Sukma ke-17 supaya membatalkan rancangan melawat Thailand," katanya. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...