JOHOR BAHARU: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket rangkaian pengedaran dadah melibatkan rampasan 16 kilogram heroin pada Ahad malam.
Menurut laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis turut memberkas 25 suspek.Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu melalui laman Twitter rasmi beliau, turut mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan itu.
Difahamkan operasi itu, yang bermula 7.30 malam dan berakhir 12 tengah malam tadi, diadakan di beberapa lokasi sekitar bandar raya Johor Baharu.
Satu sidang akhbar berhubung kes itu akan dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim pada Selasa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada pukul 3 petang.