Ahad, 25 Mei 2014

PEMUDA ANAK YATIM PIATU MATI DITIKAM DIRUMAHNYA


TANAH MERAH - Seorang pemuda berusia 23 tahun, yang juga anak yatim piatu mati selepas ditikam pada bahagian pinggang di rumahnya di Kampung Kuala Paku, Gual Ipoh, dekat sini, petang kelmarin.

Pada kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa seorang penoreh getah, Thana Aizuddin Mohd Sukri ditemui tertiarap dan berlumuran darah di atas tanah di tepi rumahnya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa ditemui tidak berbaju dan hanya berseluar jeans oleh adiknya, Kamalrul Haffiz, 17, yang baharu pulang ke rumah.

“Ketika sampai di rumah, adik mangsa mendapati ada kesan tompokan darah di atas lantai garaj rumah dan mengekori kesan darah itu sebelum dia menemui abangnya tertiarap di atas tanah di tepi rumah.

“Ketika itu, mangsa dikatakan sedang nazak dan tidak boleh bercakap sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, semalam.

Abdul Aziz memaklumkan, jarak mangsa ditemui dengan garaj kira-kira tujuh meter, manakala rumah mangsa terletak kira-kira 10 meter dari jalan utama Kusial ke Gual Ipoh.


Katanya, mangsa yang juga anak kedua daripada empat beradik itu dipercayai ditikam dari belakang dengan senjata tajam dan dikatakan seorang diri di rumah ketika kejadian.

“Hasil bedah siasat pakar forensik di Hospital Tanah Merah, punca kematian disebabkan pendarahan teruk akibat tikaman senjata tajam pada belakang badan,” katanya.

Tambahnya, pasukan unit anjing pengesan (K9) tidak menemui sebarang objek tajam atau jejak suspek kerana kejadian berlaku ketika hujan lebat, selain tiada saksi melihat kejadian.

Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan itu berkaitan dadah selepas siasatan awal mendapati mangsa adalah penagih dadah sejak dua tahun lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis menahan tiga lelaki berusia 25, 27 dan 39 tahun di sekitar kawasan kejadian bagi membantu siasatan. Semua suspek didapati positif methamphetamine dan direman mulai hari ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, Kamalrul Haffiz berkata, kejadian itu disedari apabila dia pulang dari rumah neneknya di kampung sama yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

“Saya terkejut melihat kesan luka di belakang sebelah kiri pinggangnya, namun abang masih bernyawa dan saya bergegas mendapatkan bantuan jiran.

“Jiran sempat mengajar abang mengucap sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tanah Merah.

Katanya, dia, Thana Aizuddin dan abang sulung, Mohd Raizul Nazri, 25, tinggal bersama di rumah itu selepas kematian ibu bapa mereka tahun lalu, manakala adik perempuannya, Siti Khalijah, 16, tinggal bersama datuk mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...