Ahad, 25 Mei 2014

Polis Pantau Mereka Yang Cuba Jadi Malaysia Tapak Sarang Pengganas


TELUK INTAN, 24 Mei (Bernama) -- Pihak yang cuba menjadikan negara ini sebagai tapak atau sarang kegiatan militan akan dijejaki dan diburu 'hingga ke lubang cacing' oleh pasukan keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis akan memburu mereka yang disyaki terbabit dalam kegiatan militan sama ada rakyat Malaysia atau dari luar negara.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai empat individu yang didakwa mengikut Kanun Keseksaan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan militan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Taiping, Perak semalam.

Menyentuh sama ada suri rumah Azizah Md Yusof, 55, yang dakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian E8, Cawangan Khas, Tingkat 24, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, bekerja di Bukit Aman, Ahmad Zahid berkata dia tidak bekerja di situ.

Beliau berkata pihaknya akan memaklumkan dengan terperinci mengenai penglibatan wanita itu dengan aktiviti keganasan tidak lama lagi. "Mereka yang telah ditahan, telah disoal siasat dan didapati ada bukti terhadap mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai tapak kepada keganasan itu," katanya.

Beliau juga berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan membuat pengumuman sekiranya ada individu lain ditahan kerana terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan.

Mengenai pasukan Rela, Ahmad Zahid berkata pihaknya akan berusaha untuk menaikkan nilai skim insurans bagi 2.9 juta anggota Rela bagi menjamin keluarga dan kebajikan mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan laman web 1RELA.com yang bertindak sebagai saluran komunikasi antara anggota dan pegawai Rela.

Selain itu, anggota yang berdaftar dengan laman web itu akan menerima faedah seperti potongan harga tiket penerbangan dan belian barangan dengan harga diskaun.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...