Sabtu, 24 Mei 2014

POLIS KENAL PASTI ANGGOTA MILITAN BERSEMBUNYI DI MALAYSIA


George Town, 23 Mei - Polis telah mengenal pasti beberapa lagi anggota militan yang masih bersembunyi di Malaysia bagi mengelak ditahan berikutan dikehendaki polis antarabangsa (Interpol) kerana pembabitan dalam kegiatan pengganas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis menjalankan pemantauan berterusan dalam usaha mengesan anggota militan terbabit.

"Ada yang telah kami kenal pasti dan sedang kesan mereka, untuk makluman hari ini empat militan yang kami tahan baru-baru ini dituduh di mahkamah mengikut Kanun Keseksaan.

"Pemantauan terhadap mereka (militan) dijalankan secara berterusan dan jangan ingat polis tidak buat apa-apa, tetapi saya tidak boleh dedahkan semua kerana dalam siasatan," katanya kepada pemberita selepas taklimat sempena pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.
Khalid berkata polis memandang serius tindakan anggota militan terbabit yang cuba merekrut rakyat Malaysia terutama anak-anak muda untuk terlibat dalam kegiatan mereka.

"Ya memang ada usaha mereka untuk rekrut anggota di sini, anak-anak muda adalah sasaran militan berkenaan untuk disebarkan dakyah bagi menarik golongan berkenaan dalam aktiviti kumpulan penganas itu," katanya.

Semalam Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata beberapa anggota militan dan pengganas luar negara yang ditahan di Malaysia baru-baru ini didapati cuba menyebarkan idealogi dan dakyah jihad dalam usaha merekrut lebih banyak anggota.

Wan Junaidi berkata, hasil siasatan pihak berkuasa mendapati mereka pada mulanya datang ke Malaysia untuk bersembunyi kerana terlibat dengan badan-badan pengganas di negara masing-masing sebelum bertindak menyebarkan dakyah dan ideologi mereka. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...