Nilai: Sebuah lori kontena membawa muatan panel solar yang dilarikan dalam kejadian samun di Putra Nilai, pagi ini ditemui semula di Rembau dekat sini, tadi.
Namun, panel solar terbabit seberat 3.8 tan dianggarkan bernilai lebih RM2 juta lesap disyaki dilarikan suspek.
Ketua Polis Daerah Superintendan Abdullah Roning berkata, dalam kejadian jam 7.50 pagi, pemandu lori berusia 38 tahun turut diikat kedua tangan, mata dan mulut sebelum dilarikan dan ditinggalkan suspek di Jalan Labu, di sini.
Menurutnya, mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut, polis menemui lori kontena berkenaan ditinggalkan di Jalan Sawah Raja, Rembau dekat sini, iaitu kira-kira 80 kilometer dari lokasi kejadian.