Seremban: Seorang wanita pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) cedera di tangan kiri dan badan ketika bergelut dengan seorang penjenayah yang menyamunnya petang ini.
Dalam kejadian jam 2.30 petang di sebuah flat di Lobak, dekat sini, mangsa berada bersama rakan wanita dan tiga anak mereka berusia lingkungan tiga hingga empat tahun sebelum didatangi oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Asisten Komisioner Zainal Abu berkata, suspek dipercayai warga tempatan berusia 20-an kemudiannya berpura-pura bertanya arah dan sebaik mangsa membuka sedikit pintu jeriji, suspek terus menolak dan masuk ke dalam rumahnya.
"Ketika kejadian, suami mangsa tiada di rumah dan dipercayai berlaku pergelutan antara mangsa dengan penyerangnya menyebabkan dia cedera di tangan selain luka di badan.
"Siasatan juga mendapati suspek melarikan telefon bimbit dan sejumlah wang tunai milik mangsa. Bagaimanapun, rakan wanita serta tiga anak mereka tidak dicederakan oleh suspek," katanya dihubungi Harian Metro, tadi.
Zainal berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan samun dan menyebabkan kecederaan.