Jumaat, 20 Jun 2014

Tukar Ketua Pengarah Elak ESSCom Dilabel Sebagai Tempang


KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Yayasan Kebajikan Sosial merayu kepada kerajaan supaya melakukan perubahan dalam struktur Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) selepas gagal berfungsi seperti diharapkan.

Pengerusinya Tan Sri Robert Phang berkata kerajaan perlu mengkaji struktur sebenar dan pencapaian ESSCom untuk mengelakkannya dilabel sebagai "tempang" oleh rakyat.

"Sejak ESSCom ditubuhkan sehingga hari ini, ia tidak dapat berfungsi dengan berkesan. Ia menimbulkan persoalan tentang tujuan sebenar mempunyai ESSCom.

"Cukup pelik jika diperhatikan bahawa ketua pengarah ESSCom (Datuk Mohammad Mentek) tidak dipinjamkan daripada PDRM atau tentera. Pendek kata, beliau tidak mempunyai kakitangan atau tentera yang benar-benar di bawah arahan beliau," kata Phang dalam kenyataan susulan beberapa kes penculikan di kawasan pantai Sabah, baru-baru ini.

Phang yang juga anggota majlis eksekutif Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa kerajaan menukar kepimpinan EssCom jika tidak menunjukkan prestasi seperti diharapkan.

Proses ini harus dilaksanakan tanpa berlengah lagi, kata beliau.

Mohammad, bekas Pengarah Imigresen Sabah dilantik mengetuai ESSCom bermula 1 April tahun lepas.

Berdasarkan rekod, Mohammad, 49, mempunyai pengalaman luas dalam bidang pembangunan dan pengurusan sumber manusia, kewangan dan keselamatan.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...