Khamis, 5 Jun 2014

PEKERJA TERNAKAN LEMBU DI SAMUN PEROMPAK BERSENJATA PISTOL


KUANTAN - “Kalau tak mahu mati jangan melawan,” jerit salah seorang perompak sambil mengacukan sepucuk pistol memaksa dua pekerja sebuah ladang ternakan lembu di Kampung Pahang, Jalan Sungai Soi dekat sini mendiamkan diri, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam  2 pagi itu, kedua-dua tangan mangsa warga Indonesia itu diikat menggunakan wayar pengecas telefon sebelum suspek dipercayai seramai lapan orang membuka kandang dan memindahkan kesemua lembu ke dalam lori kecuali tiga ekor yang sakit.

Salah seorang mangsa, Hairuddin, 29 berkata, ketika kejadian dia bersama rakan berusia 39 tahun sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan kehadiran enam lelaki bersenjatakan pistol, alat renjatan elektrik dan besi.

Menurutnya, salah seorang suspek bersenjatakan pistol mengacukan senjata itu ke arahnya dan mengarahkan supaya mereka berdua tidak melawan.

“Saya tidak berani untuk melawan memandangkan mereka ramai dan bersenjata bahaya jadi kami berdua mendiamkan diri sebelum diikat.

“Suspek kemudian menuju ke arah kandang dan saya dengar mereka memunggah lembu-lembu ke dalam lori bagaimana pun saya tidak nampak apa yang mereka lakukan kerana berada di dalam rumah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Hairuddin yang baru bekerja di ladang itu sejak lima bulan lalu berkata, perompak mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit untuk memunggah lembu dan beredar.

“Selepas mereka keluar dari pintu pagar ladang, saya berjaya membuka ikatan dan terpaksa berlari ke rumah penduduk untuk meminta bantuan memandangkan motosikal tidak dapat digunakan akibat tayarnya dipancit perompak.

“Kemudian saya maklumkan kepada majikan sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.

Dia berkata, dalam kejadian itu 29 ekor lembu dianggarkan bernilai lebih RM60,000 hilang.

“Kes kecurian lembu di ladang ini bukan kali pertama sebaliknya pada 22 April lalu, sebanyak 28 ekor lembu dianggarkan bernilai RM58,000 turut dicuri dipercayai angkara kumpulan yang sama.

“Akibat  dua kejadian ini, hanya tiga ekor lembu sakit yang tinggal menyebabkan pemilik kerugian lebih RM100,000,” katanya.

“Selepas kejadian saya trauma untuk tinggal di ladang itu bagaimana pun bersyukur kerana kami berdua tidak dicederakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan,  Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh dalam kenyataannya  semalam memaklumkan, pihak polis sedang menjalankan siasatan termasuk cuba mengenal pasti suspek terlibat.

Menurutnya, siasatan juga turut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada pistol yang digunakan suspek seperti yang didakwa pekerja itu senjata api sebenar atau tiruan.

“Usaha menjejaki suspek kini giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...