Isnin, 16 Jun 2014

STOR PENYIMPANAN MINYAK DIESEL BERSUBSIDI DISERBU


Alor Star, 15 Jun - Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan minyak diesel bersubsidi dalam Ops Landai di sekitar kawasan perindustrian Mergong, semalam.

Menurut Komander Pasukan PPM Wilayah 1, ACP Mohd Yusof Abdullah, bertindak di atas maklumat, pemerhatian telah dijalankan oleh pihaknya yang terdiri daripada seorang pegawai bersama empat anggota terhadap sebuah bengkel yang mencurigakan di kawasan terbabit.
"Kita melakukan serbuan terhadap bengkel terbabit dan hasil serbuan kita mendapati terdapat lebih kurang 20,000 liter minyak diesel yang disimpan bernilai RM40,000 yang dipercayai akan diseludup keluar.

"Selain itu, kita juga merampas dua buah kenderaan yang disyaki digunakan untuk mengangkut minyak diesel dan peralatan untuk mengepam.

"Dalam serbuan tersebut empat orang suspek yang terdiri daripada lelaki warga tempatan turut ditahan dan semua hasil rampasan bernilai RM145,000 diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK)," tambahnya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...