Isnin, 28 Julai 2014

Duda anak dua diberkas polis bersama syabu RM240,000


ALOR SETAR - Seorang duda anak dua diberkas polis selepas disyaki terlibat dalam pengedaran dadah jenis syabu seberat 2.1 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM240,000 dikawasan perumahan Taman Pekan Baru, Sungai Petani, dekat sini, Khamis lalu.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.50 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Abd Razak Md. Zin memberitahu, lelaki itu ditahan ketika sedang berjalan kaki di kawasan perumahan tersebut dengan membawa sejumlah syabu di dalam beg plastik.

"Kita menemui sebanyak empat bungkusan dadah jenis syabu seberat 2.1 kg di dalam beg plastik.

"Suspek menggunakan bungkusan teh untuk menyimpan syabu itu yang dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di IPK Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil risikan percaya suspek telah terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Sungai Petani lebih enam bulan lalu.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu dua kes berkaitan dadah dan tiga kes jenayah," ujarnya. - KOSMO!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...