Sabtu, 26 Julai 2014

Lapan KPI wajib dicapai 10 OCPD di EssZone


KOTA KINABALU, 25 JulaiPesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya telah merangka lapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang wajib dilaksanakan dan capai oleh semua 10 Ketua Polis Daerah (OCPD) di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Katanya dua daripada KPI berkenaan sudah dilaksanakan oleh semua OCPD di kawasan berkenaan manakala selebihnya akan diumumkan dalam tempoh terdekat, selewat-leawatnya selepas Hari Raya Aidilfitri.

Jalaluddin berkata dua KPI yang telah dilaksanakan OCPD termasuk mengadakan pertemuan dengan nelayan dan pengusaha sangkar ikan serta mengadakan dialog dan perbincangan dengan persatuan nelayan.

Katanya contoh-contoh aktiviti lain yang boleh dilakukan OCPD termasuk aktiviti ramah mesra dengan penghuni rumah-rumah atas air, mengumpul maklumat untuk tujuan operasi, mengadakan sekatan jalan raya, mengetahui lokasi kemasukan (PATI) serta mengenal pasti pangakalan-pangkalan haram dan mesyuarat perancangan dengan anggota.

Menurut Jalaluddin walaupun KPI ini cuma diwajibkan kepada semua 10 OCPD di kawasan Esszone namun ketua-ketua polis daerah lain digalakan menggunakan pendekatan berkenaan bagi meningkatkan tahap keselamatan serta ketenteraman awam di daerah masing-masing.

Mengenai keadaan keselamatan terkini di Sabah, Jalaluddin berkata keadaan kini adalah aman dan terkawal tetapi beliau mengingatkan semua pegawai dan anggota agar sentiasa berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutama di kawasan Esszone.

Mengulas mengenai perkembangan anggota polis marin, Konstabel Zakia Aliep yang diculik di Pulau Mabul pada 12 Julai lepas, Jalaluddin berkata proses menyelamatkannya masih berjalan dan perkembangannya positif. – Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...