Ledang, 23 Julai - Mercun
seakan periuk api dan roket peluru berpandu adalah antara pelbagai jenis bahan itu yang dirampas dan dianggar
bernilai RM30,000 dalam empat serbuan berasingan oleh polis daerah ini
sepanjang Ramadan.
Ketua Polis Daerah Ledang,
Supt Mohamed Salleh Abd. Razak berkata kedua-dua jenis mercun yang diimport
dari negeri China itu adalah antara 10 jenis yang dilarang dan didapati dijual
dengan harga antara RM10 hingga RM200 seunit dalam pasaran tempatan.
Bercakap kepada
pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di sini, beliau berkata dalam
serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Lalang di sini 4 petang Ahad lalu,
polis merampas 109 kotak pelbagai jenis mercun yang disimpan dalam sebuah
bilik.
"Kita telah menahan
seorang lelaki berusia 33 tahun dalam serbuan itu dan hasil siasatan membawa
kepada serbuan kedua, selang setengah jam di kampung Parit Banjar, pinggir
bandar ini dan menahan seorang pemuda berusia 19 tahun," katanya.
Dalam serbuan itu katanya,
polis menemui 46 kotak berisi pelbagai jenis mercun buatan negeri China.
Mohamed Salleh berkata
dalam serbuan ketiga sejam selepas itu, polis menahan seorang pemandu lori
berusia 39 tahun di Taman Tangkak Jaya dan merampas sejumlah 76 kotak pelbagai
jenis mercun dari China.
Serbuan keempat pula
diadakan kira-kira 2 pagi keesokan harinya (Isnin) di sebuah rumah di Grisek di
sini dan menahan seorang lelaki berusia 40 tahun kerana memiliki sejumlah
mercun.
"Lelaki ini mempunyai
empat rekod jenayah berkaitan kes dadah dan dia dibawa ke IPD untuk siasatan
lanjut," katanya sambil menyatakan kesemua suspek dibenar ikat jamin
sementara menunggu dihadapkan ke Mahkamah. - BERNAMA