Selasa, 22 Julai 2014

PEKERJA ASING: USAH GUNA KHIDMAT ORANG TENGAH


Kuala Lumpur, 21 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa semua majikan di Malaysia supaya berurusan sendiri dengan pihak Jabatan Imigresan untuk menguruskan permit pekerja asing mereka bagi mengelakkan jenayah penipuan yang membabitkan khidmat orang tengah dalam urusan tersebut.


Menurutnya, setelah mendapat bayaran daripada syarikat-syarikat terbabit, sindiket ini akan mengeluarkan dokumen kelulusan palsu kepada syarikat terbabit dan penipuan ini hanya akan disedari setelah pembayaran levi dibuat bagi tujuan memperbaharui permit pekerja mereka.


Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK)(Risikan/Operasi), SAC Dato' Abdul Jalil bin Hassan dalam sidang media JSJK sebentar tadi berkata, jenayah penipuan ini melibatkan sindiket yang menawarkan perkhidmatan bagi menguruskan permit pekerja asing kepada syarikat-syarikat di sekitar Lembah Klang, Perak, Johor dan Pahang.


“Sejak penghujung tahun 2013 sehingga 20 Julai tahun ini, sebanyak lapan laporan polis telah dibuat oleh mangsa penipuan sindiket ini dan menyaksikan jumlah kerugian mangsa mencecah sehingga lebih satu juta ringgit,” tambahnya lagi.


Dalam satu operasi yang dinamakan Op Levy semalam, pihak polis telah berjaya memberkas sepuluh individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan dokumen pembaharuan permit pekerja asing ini.


Turut dirampas, beberapa barangan berupa telefon bimbit, komputer riba, pasport, dokumen-dokumen syarikat, wang tunai, dan pakaian-pakaian yang mempunyai lambang Jabatan Imigresan.


Kesemua suspek yang berusia lingkungan 28 sehingga 56 tahun tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi sepuluh tahun penjara serta sebatan

x
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...