Selasa, 22 Julai 2014

POLIS PANGGIL LIM KIT SIANG BERI KETERANGAN

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Polis akan mengambil keterangan Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam tempoh terdekat ini, berhubung kenyataannya dalam sebuah laman portal The Rocket mengenai kematian Teoh Beng Hock.


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya telah menerima beberapa laporan berhubung kenyataan itu kerana ia didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan.


"Kata-kata beliau (Kit Siang) dalam artikel tersebut berbaur hasutan, kita akan siasat Kit Siang di bawah Akta Hasutan," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan juadah berbuka puasa kepada anggota trafik Kuala Lumpur, di Pulau Tiga Jalan Estafan, di sini, pada Isnin.


Kit Siang dalam satu artikelnya bertajuk 'Malaysians will not rest until justice is done for the killing of Teoh Beng Hock' pada Rabu lepas, mempersoalkan kenapa belum ada tangkapan terhadap pembunuh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor.


Khalid berkata, kenyataan Anggota Parlimen Gelang Patah itu cuba mempengaruhi rakyat bahawa kematian Beng Hock itu seolah-olah akibat dibunuh.


"Jangan cuba menimbulkan perkara yang tidak benar yang boleh menimbulkan kemarahan dan syak wasangka kepada orang ramai," katanya.


Pada 16 Julai 2009, Beng Hock, ditemui mati di lobi aras lima, Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

x

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...