Marang, 30 Jun - Seorang pemandu lori yang memiliki empat waran tangkap kerana aktif melakukan jenayah pecah rumah di daerah ini dan Dungun, ditangkap di Kampung Rhu Rendang di sini, Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Terengganu, ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata suspek berusia 39 tahun itu dan rakannya, dipercayai terbabit dalam empat kes pecah rumah di daerah ini dan beberapa daerah lain sejak April lepas.
Ekoran penahanan suspek, polis menemukan sebuah komputer riba, barangan kemas, duit syiling, tablet serta telefon bimbit dengan hasil rampasan bernilai kira-kira RM10,000, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Justeru, Wan Abdul Aziz berkata pihaknya sedang memburu rakan suspek yang dikenali sebagai Awang Lias Sulang, 46, berasal dari Felda Neram, Kemaman.
Beliau meminta orang ramai yang menjadi mangsa pecah rumah di daerah ini tampil ke Balai Polis Marang untuk melakukan pengecaman barang yang hilang. - BERNAMA