Khamis, 17 Julai 2014

Polis Akan Ambil Tindakan Terhadap Pembuli Jalan Raya Di Kuantan


KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan terhadap perempuan yang didakwa melakukan penderaan lisan dan beberapa kali memukul kenderaan seorang lelaki tua dengan kunci stereng selepas kereta Peugeot baharunya terbabit dalam kemalangan kecil.

Insiden yang berlaku di Kuantan itu telah dirakam dan dikongsi di YouTube oleh pemandu berhampiran yang berada di tempat kejadian. 

Mengulas mengenai video tersebut, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan wanita itu adalah 'tidak boleh dimaafkan'. 

"Itu bukan cara untuk mengendalikan situasi yang berlaku kerana kita tidak tidak perlu meletakkan undang-undang ke dalam tangan sendiri.
"Tidak kiralah sama ada lelaki itu telah membuat laporan dengan kami berhubung kejadian itu atau tidak. 

"Perkara utama adalah, kita telah melihat video itu dan tindakan wanita itu menunjukkan tingkah laku pembuli jalan raya.

"Oleh itu, kami akan membuat laporan terhadapnya dan tindakan akan diambil," katanya.

Dalam video itu, perempuan itu menyerang dan menjerit memanggil lelaki itu "sangat bodoh", melemparkan kata-kata berbaur perkauman dan menuntut dia membayar RM2,000 sebagai pampasan.

Walaupun dikasari, lelaki tua berkenaan tetap tenang dan menawarkan untuk membayar ganti rugi bagi kerosakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...