NIBONG TEBAL, 17 Julai (Bernama) -- Polis telah mengenal
pasti beberapa individu yang menyamar sebagai pekerja agensi kerajaan dan
swasta sebelum menyamun warga emas serta suri rumah yang tinggal di kawasan
kampung di negeri ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah
berkata sekurang-kurang lapan lelaki berusia lingkungan 20-an dikenal pasti
aktif menjalankan kegiatan itu di sekitar Seberang Perai Selatan (SPS),
Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).
"Mereka yang menaiki motosikal serta berpakaian kemas
itu menyasarkan warga emas dan wanita yang tinggal seorang diri di rumah ketika
waktu kerja. Suspek akan ke rumah mangsa dengan menyamar sebagai pekerja dari
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau sebagainya bagi membolehkan mereka
masuk ke dalam rumah.
"Selalunya
suspek lebih daripada seorang dan sebaik dapat masuk ke dalam rumah mangsa,
mereka akan mengarahkan mangsa untuk menyerahkan wang tunai dan barang kemas,
ada kes yang mangsa dicederakan kerana tidak mengikut arahan," katanya
kepada pemberita selepas melawat seorang wanita warga emas Sabariah Nakisa, 76,
yang menjadi mangsa ragut di rumahnya di Kampung Bagan Buaya Changkat.
Mazlan berkata usaha mengesan mereka yang terlibat dalam
kejadian itu kini giat dijalankan.
"Kami nasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan jika
ada orang yang tidak dikenali datang ke rumah jangan benarkan mereka masuk,
kalau boleh hubungi polis," katanya.
Sementara itu Sabariah berkata dalam kejadian 8 Mei lepas,
beliau yang tinggal dengan anak perempuan Samsiah Hussin, 50, didatangi seorang
lelaki yang mendakwa kakitangan JKM yang mahu membuat bancian bagi permohonan
bantuan.
"Mak cik benarkan dia masuk kerana lelaki itu turut
menunjukkan kad kuasa, sebaik masuk dia terus merentap beg tangan dan melarikan
diri. Dalam beg itu ada wang tunai dan seutas rantai emas, semuanya bernilai
RM2,000," katanya.
Terdahulu Mazlan menyerahkan sumbangan barang keperluan
seperti beras, gula, minyak masak dan tepung bernilai lebih RM1,000 kepada
Sekolah Menengah Agama (SMA) Irshadiah, Sungai Bakap di sini untuk membantu
mengurangkan beban pelajar sekolah berkenaan.
Pengetua SMA Irshadiah Abdul Aziz Yusoff berkata melalui
pertemuan antara polis dan pengurusan sekolah itu, pihaknya mendapat pelbagai
maklumat berguna khasnya dalam usaha mengelakkan golongan remaja daripada
terbabit dengan aktiviti jenayah.