Isnin, 14 Julai 2014

Sindiket Pengedaran Dadah Kini Sasar Pelajar Sekolah


KOTA BAHARU, 13 Julai (Bernama) -- Sindiket pengedaran dadah di negara ini kini menjadikan pelajar sekolah sebagai sasaran kerana golongan itu lebih mudah terpedaya, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata pihaknya mengesan sindiket dadah beralih kepada pelajar sekolah kerana melihat adanya pasaran buat mereka.

"Pelajar senang dipengaruhi kerana ada di antara mereka tidak tahu kesan penggunaan dadah," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di sini, hari ini.

Kementerian Dala Negeri akan mengambil pelbagai langkah yang proaktif bagi menangani kes penagihan dadah di negara ini termasuk mengenal pasti kawasan panas di seluruh negara untuk melaksanakan program pendidikan pencegahan.

"Selain itu, kita akan ke sekolah bagi mengadakan ujian air kencing untuk mengesan pelajar yang terlibat dengan dadah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata kes penagihan pil kuda di Kelantan juga semakin membimbangkan dengan bilangan penagih terus meningkat saban tahun.

Tahun lepas, seramai 1,558 penagih dadah positif methamphetamine dikesan manakala 1,377 dikesan dari Januari hingga Jun tahun ini.

"Remaja seawal usia 13 tahun juga dikesan terlibat dengan penagihan dadah jenis pil kuda tahun ini...ini perkara serius," katanya. -- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...