TANGKAK, 7
Ogos (Bernama) -- Empat suri rumah kerugian RM30,000 setelah diperdaya
dengan peluang pekerjaan oleh dua wanita sebelum melarikan pelbagai barangan
berharga daripada mereka di Kampung Parit Kasan, Bukit Gambir di sini petang
semalam.
Mereka sebelum itu ditawarkan peluang kerja
mengopek ikan bilis dan membungkus bonjot sup dengan upah RM10 setiap
kilogram dan akan dibekalkan barangan seberat 20 kilogram setiap seorang.
Seorang daripada mangsa, Saniah Senawi, 56, berkata dua
wanita terbabit mendatangi mereka yang sedang mengadakan marhaban dari rumah ke
rumah bersama puluhan kaum wanita di kawasan kariah Surau 3, Parit Kasan,
kira-kira pukul 3.30 petang menawarkan peluang pekerjaan itu
bagi membantu menambah pendapatan keluarga.
"Lebih kurang 15 ahli kumpulan marhaban kami
mendaftar dan suspek memberi syarat iaitu sebelum diterima bekerja, mereka
perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan x-ray sama ada di klinik
atau hospital," katanya ketika ditemui hari ini.
Saniah berkata, tiga rakannya, Azizah Muhamed, 50; Siti
Morjanah Jemin, 66 dan Siti Norlijah Jamari, 59, dibawa ke Hospital Tangkak
dengan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki apabila dua klinik di Bukit
Gambir tidak menyediakan perkhidmatan x-ray.
Azizah pula berkata, ketika tiba di hospital itu pada
pukul 6 petang, suspek meminta mereka menanggalkan barang kemas dengan alasan
tidak boleh dibawa masuk ke dalam bilik pemeriksaan x-ray dan meminta
mereka memasukkan dompet dan barang kemas dalam beg tangan milik Siti
Morjanah.
Seorang daripada wanita berkenaan kemudian membawa
mereka bertiga ke kaunter pendaftaran dan meninggalkan Siti Morjanah yang
memegang beg tangan mengandungi barangan berharga di dalam kereta bersama dua
suspek.
Siti Morjanah berkata, wanita yang bersamanya menyuruh
beliau ke tandas untuk membuang air kecil dan melarangnya membawa beg tangan
berkenaan.
Sebaik keluar tandas, katanya, mereka telah melarikan
diri dengan kenderaan itu dan ketika itu mereka tersedar sudah ditipu dan
meminta pihak hospital menghantar mereka ke Balai Polis Tangkak untuk membuat
laporan.
Menurut beliau, barangan berharga yang dilarikan suspek
termasuk cincin emas, rantai leher emas, gelang tangan emas, wang tunai,
telefon bimbit, kunci motosikal serta dokumen penting yang kesemuanya
dianggarkan bernilai hampir RM30,000.