Gambar hiasan |
Padawan: Seorang pemandu lori maut
dipercayai dipukul menggunakan besi oleh anak saudaranya selepas berlaku
pertengkaran dalam kejadian di Kampung Subang Tiang Bekap, Jalan
Kuching-Serian, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu,
mangsa David Taip, 42, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan
Pauzi Bujang berkata, difahamkan sebelum kejadian mangsa bersama anak saudara
lelakinya berusia 24 tahun dan dua lagi rakan sekampung melepak di sebuah rumah
rakan sambil minum minuman keras.
Katanya, mangsa kemudian menegur mangsa
supaya berubah dan tidak lagi membuat bising.
Bagaimanapun, teguran itu menimbulkan rasa
tidak puas hati suspek dan dia terus mengambil besi dan memukul kepala mangsa.
"Sebaik mendapati mangsa jatuh dan
tidak sedarkan diri, suspek terus melarikan diri dengan menunggang motosikal.
"Polis sudah melancarkan gerakan
memburu suspek, namun dia menyerah diri di Balai Polis Tapah kira-kira jam 4.45
pagi tadi," katanya.
Mayat dihantar ke rumah mayat Hospital Umum
Sarawak (HUS) untuk bedah siasat, manakala suspek direman selama tujuh hari
bermula esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan.