Ahad, 3 Ogos 2014

#Jenayah Kekerasan: Mangsa ditetak dengan parang

Gambar hiasan
BESUT - Seorang lelaki bertindak menetak rakannya menggunakan parang akibat tidak dapat menerima teguran mangsa dalam kejadian di sebuah kedai di Kampung Padang Bual, di sini, Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika mangsa berusia 28 tahun bermain karom bersama rakan-rakannya, sebelum didatangi suspek yang mahu mengisi minyak.

Menurutnya, mangsa kemudian menegur suspek memandangkan sebelum ini suspek didakwa sering mengganggu penduduk sekitar kampung.


“Namun, teguran itu mengundang kemarahan suspek lalu dia bertindak melibas parang ke arah mangsa.

“Mangsa tidak sempat mengelak menyebabkan pahanya tercedera sebelum suspek bertindak melarikan diri,” katanya.

Mangsa yang cedera dihantar rakannya ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil.

Katanya, identiti suspek sudah dikenal pasti dan usaha memburunya giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...