BESUT - Seorang warga emas disamun
barang kemas bernilai kira-kira RM30,000 di rumahnya di Kampung Gelam Mas,
Kampung Raja di sini, kelmarin.
Mangsa yang berusia 61 tahun itu
kehilangan dua gelang emas permata berlian, sebentuk cincin berlian dan emas
serta sepasang subang emas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut,
Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira
jam 5.40 petang apabila mangsa didatangi tiga individu, termasuk dua wanita
yang berpura-pura mahu menyewa sebuah bilik di inap desa miliknya.
Menurutnya, mangsa membawa suspek
lelaki dan seorang perempuan masuk melihat bilik manakala seorang lagi suspek
wanita menunggu di luar.
“Sebaik berada di dalam rumah,
suspek lelaki mula menunjukkan belangnya apabila tiba-tiba mengeluarkan sebilah
golok lalu meletakkan di tengkuk mangsa.
“Suspek mengugut untuk menyembelih
mangsa jika membuat bising sambil mengarahkan mangsa menyerahkan barangan
berharga yang ada,” katanya.
Noorzainy berkata, bimbang
keselamatannya, mangsa terpaksa akur dengan arahan suspek dengan menyerahkan
pelbagai barangan kemas yang dipakainya.
Katanya, sebaik mendapatkan hasil,
tiga suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Persona menghala
ke Kampung Keluang.
Siasatan lanjut sedang dijalankan
dengan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan
rompakan berkumpulan menggunakan senjata.