Gambar hiasan |
GEMAS,
10 Ogos (Bernama) -- Mayat seorang wanita ditemui dalam sebuah beg pakaian yang
dimangga dan diikat dalam longkang di Taman Gemas Jaya di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin Supt Wooi Kooi Cheang berkata
mayat itu ditemui oleh seorang pekerja kedai perabot pada kira-kira 5 petang.
"Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota
termasuk Unit Forensik bergegas ke tempat kejadian. Pemeriksaan menemukan mayat
seorang wanita berusia 20-an memakai baju-T Mickey Mouse dan berseluar biru.
"Terdapat kesan luka sepanjang enam sentimeter
pada dahi mangsa dipercayai akibat hentakan benda tumpul manakala kedua-dua
tangan terdapat kesan lebam dan dua jari tangan kiri hancur.
"Tiada identiti ditemui pada mayat yang tidak
mempunyai suntikan BCG itu dan kita percaya mangsa mati lebih 48 jam,"
katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, polis turut menemui beberapa helai baju dalam
beg berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban
untuk dibedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan
anggota keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di
talian hotline 06-4431999 atau balai polis berdekatan.