Rabu, 13 Ogos 2014

#Pengedaran Dadah: Keldai Dadah Pakistan Tumpas


KUALA LUMPUR: Penahanan dua rakyat Pakistan yang melekatkan bungkusan dadah yang keseluruhannya seberat 6.3 kilogram (kg) pada betis masing-masing membongkar trend terbaharu penyeludupan bahan terlarang itu di negara ini.

Kedua-duanya lelaki berusia antara 27 dan 29 tahun yang dipercayai keldai dadah itu ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan, polis merampas dua bungkus heroin yang masing-masing seberat 3.1 kg dan 3.2 kg yang dilekatkan di kanan dan kiri betis rakyat Pakistan itu.


Beliau berkata, sindiket yang berpangkalan di Pakistan ini cuba mengaburi mata pihak berkuasa apabila memasuki negara ini menggunakan penerbangan dari Bangkok.

"Sebelum ini, sindiket ini terus ke Malaysia dan penerbangan dari Bangkok itu adalah satu taktik," jelasnya pada sidang media di Bukit Aman, pada Selasa.

Noor Rashid berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya wujud peningkatan aktiviti pengedaran dadah jenis heroin dalam kalangan warga Pakistan kerana sebelum ini dua suspek dari negara sama ditahan pada 6 Ogos lalu.

Sementara itu, pihak JSJN berjaya merampas pelbagai jenis dadah mencecah RM2.1 juta membabitkan 5.5 kg pil ekstasi, 2.3 kg pil erimin 5 dan dua kg syabu pada Ahad lalu.

"Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki warga Sri Lanka dalam serbuan ke atas dua kereta di Hutan Rimba Ampang.

"Susulan itu, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai ketua sindiket dadah ditahan di Cheras sebelum menyerbu sebuah rumah di Bukit Damansara dan merampas 2.8 kg pil ekstasi serta dua kg syabu yang dibungkus dalam bungkusan kopi segera," jelasnya.

Beliau berkata, semua yang ditahan selama tujuh hari itu berumur 21 hingga 39 tahun bagi siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Noor Rashid berkata, tumpasnya dua kes penyeludupan dan pengedaran dadah ini adalah hasil pemerhatian rapi JSJN dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting).


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...