IPOH: Polis Perak sedang mengesan individu yang menyebarkan
dakwaan di laman sosial kononnya berlaku pergaduhan di antara kaum di bandar
raya ini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A
Paramasivam berkata, polis sedang menyiasat perkara itu dan akan mengenakan
tindakan tegas terhadap individu yang menyebarkan dakwaan itu.
"Kita (polis) akan
mengambil tindakan tegas terhadap mereka di bawah Akta Hasutan, Akta Jenayah
Komputer, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta di bawah Kanun
Keseksaan terhadap mereka yang menghasut dan mereka-reka cerita," katanya kepada
pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, Isnin.
Beliau berkata, polis
tidak menyembunyikan sebarang fakta berikutan bandaraya Ipoh sekarang ini
berada dalam keadaan aman.
Sebelum ini, ada pihak mendakwa pergaduhan berlaku di Balai Polis Pekan Baru di sini, stesen Keretapi Tanah Melayu dan Pasar Malam Gerbang Malam baru-baru ini.
Sebelum ini, ada pihak mendakwa pergaduhan berlaku di Balai Polis Pekan Baru di sini, stesen Keretapi Tanah Melayu dan Pasar Malam Gerbang Malam baru-baru ini.
Paramasivam berkata, orang
awam datang ke balai polis berkenaan kerana berlaku satu kemalangan melibatkan
dua motosikal dan seorang daripadanya maut.
"Disebabkan kemalangan
itu, orang ramai datang ke balai polis dan kebetulan ada majlis perayaan di
kuil India berdekatan dengan balai polis itu. Tiada kepungan dan rusuhan
berlaku di situ," katanya.
Selain itu, Paramasivam
turut menafikan dakwaan berlakunya kejadian pecah cermin kereta individu yang
mempunyai pelekat lambang sebuah restoran makanan segera.
Beliau berkata, setakat
ini tiada laporan polis diterima berhubung dakwaan itu dan orang ramai diminta
membuat laporan polis sekiranya menghadapi situasi berkenaan.