JOHOR BAHRU: Kerajaan
tidak akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dalam masa terdekat walaupun mendapat
desakan sesetengah pihak supaya akta tersebut dihapuskan segera, kata Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.
Beliau
berkata akta itu masih penting dalam menjaga keselamatan, keharmonian dan
perpaduan kaum di negara ini memandangkan kerajaan memerlukan masa dan kajian
terperinci dalam merangka draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional bagi
menggantikan Akta Hasutan.
"Memang
Perdana Menteri sudah menyatakan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 tetapi
kerajaan tidak akan memansuhnya sehingga ada akta gantian.
"Setakat
ini kita belum merangka draf Rang Undang-undang Keharmonian Nasional yang akan
menggantikan Akta Hasutan 1948 walaupun ada pihak mendakwa kita sudah
merangkanya dan akan dibentang (di Parlimen) tahun depan," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan seminar literasi undang-undang "Wanita
Bistari Masyarakat Bahagia" di sini hari ini.
Nancy
berkata kerajaan menerusi Jabatan Peguam Negara sedang bekerjasama dengan
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk mencari input dan
maklum balas daripada masyarakat bagi menghasilkan kandungan yang diperlukan
dalam membentuk rang undang-undang itu.
Beliau
berkata rang undang-undang itu selaras dengan aspirasi Najib yang menekankan
aspek perpaduan dalam kalangan rakyat sekali gus menjadikan rakyat sentiasa
menghormati antara satu sama lain.
Bagaimanapun,
dengan pelbagai kesalahan yang semakin berleluasa menerusi media sosial ketika
ini, semakin sukar untuk kerajaan menyiapkan rang undang-undang itu dengan
segera dan ia merupakan cabaran besar kepada mereka yang terlibat dalam
penggubalan akta baharu itu, kata Nancy.
Sementara
itu, tentang seminar berkenaan, beliau berkata ia merupakan usaha baik dalam
menyedarkan wanita tentang isu rumah tangga, keluarga, peranan setiap individu
serta masyarakat apabila dilanda masalah kekeluargaan.
Seminar
anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor yang dihadiri kira-kira 300
peserta itu juga, katanya amat penting dalam mendedahkan wanita tentang saluran
aduan dan bantuan yang disediakan kepada mangsa kes kegagalan rumah tangga. -
BERNAMA