Selasa, 9 September 2014

Mat Atim Penjenayah paling dikehendaki ditembak mati


KOTA BHARU - Seorang penjenayah paling dikehendaki polis berhubung beberapa kes bunuh di negeri ini akhirnya ditembak mati di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Banggol Telipot, Pasir Puteh, awal pagi tadi.

Mat Atim atau nama sebenarnya Hatim Mohd Zain, 25, mati di tempat kejadian selepas terkena beberapa das tembakan dilepaskan pihak polis.

Turut mati di tempat kejadian, rakan Mat Atim, Mohamad Hafiz Saupi juga berusia 25 tahun dan dipercayai seorang pengedar dadah.


Pada sidang media petang tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Salleh berkata, serbuan Ops Cantas Api itu dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, pada jam 4.10 pagi.

Katanya, insiden turut menyebabkan tiga anggota polis termasuk seorang pegawainya cedera terkena tujuh das tembakan dilepaskan penjenayah.

Menurutnya, Mat Atim diburu selepas dipercayai terbabit dengan beberapa kejadian termasuk bunuh, cubaan bunuh melibatkan senjata api, culik dan samun yang berlaku pada dua, tiga tahun kebelakangan ini.


 “Mat Atim berasal dari Kampung Padang Lati Hilir, Bekelam, Bachok, dan mempunyai rekod berkait kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Bachok pada tahun 2013, manakala rakannya, Mohamad Hafiz pula dipercayai pengedar dadah,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...