Tapah: Mangsa yang
maut akibat ditembak dalam kejadian berhampiran plaza tol Bidor, dekat sini 11
malam tadi, dikenali sebagai G Mogesvaran, 22,
seorang pengawal keselamatan.
Ketua
Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa mati akibat
terkena satu das tembakan pada bahagian belakang badan yang menembusi dada
kanannya, manakala dua rakannya yang cedera terkena tembakan pada bahagian
leher dan tangan, namun dilaporkan dalam keadaan stabil.
Menurutnya,
polis menerima maklumat dari orang awam mengatakan terdengar bunyi tembakan
kira-kira jam 11 malam tadi di sebuah premis rumah kedai yang baru siap
berhampiran Taman Batang Padang, Bidor kira-kira 200 meter dari plaza tol
Bidor.
"Siasatan
awal mendapati mangsa bersama lima rakannya dipercayai sedang minum dan
berborak di kaki lima bangunan yang baru siap itu, sebelum seorang suspek
datang dan terus melepaskan beberapa das tembakan.
"Mangsa
bersama dua rakannya yang cedera selepas ditembak cuba menyelamatkan diri
dengan lari ke kawasan perumahan berhampiran, namun jatuh tertiarap di depan
sebuah rumah kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan meninggal dunia," katanya dalam sidang media
di sini tadi.
Katanya, susulan
daripada kejadian polis menahan empat individu di sekitar kawasan Bidor bagi
membantu siasatan.
Kes disiasat
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.