Selasa, 16 September 2014

#PRK P/KUBOR: Polis perketat rondaan di sempadan Sungai Golok


TUMPAT: Polis memperketatkan kawalan di kawasan Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di daerah ini sepanjang musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor bagi mengawal kemasukan warga asing.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, berkata pasukan Polis Marin dengan kekuatan seramai 78 anggota akan mengadakan rondaan selama 24 jam di sepanjang kawasan sungai itu.

"Sebanyak enam bot akan digunakan untuk kegiatan meronda di kawasan perairan khusus untuk mengawal kemasukan warga asing.


"Kita tidak mahu individu yang tidak berkaitan masuk ke kawasan ini dan membuat gangguan, kita ingin pastikan tiada sebarang kekacauan berlaku sepanjang PRK ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sepanjang Sungai Golok di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supt Zaharuddin Rasip dan Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, ASP Mohd Nawi Yunus.

Katanya, rondaan berkenaan turut memberi fokus membendung kegiatan penyeludupan senjata api melalui sempadan.

Mazlan berkata, pihaknya juga mengadakan kerjasama dengan pasukan Polis Marin Thailand bagi memantapkan penguatkuasaan di kawasan sempadan sempena PRK ini.

PRK itu diadakan berikutan kematian Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 25 September ini sebagai hari pengundian.

Pada PRK itu, calon BN, Mat Razi Mat Ail dicabar calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...