Khamis, 27 November 2014

Pengambilan Polis Wanita Ditingkatkan 30 Peratus Dalam Lima Tahun



KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah pengambilan polis wanita dengan sasaran 30 peratus peningkatan dalam tempoh lima tahun, kata Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Fuzi Harun.

Beliau berkata PDRM sememangnya memberi keutamaan bagi ambilan polis wanita.

"Bagi ambilan (intake) 600 kadet inspektor pada Januari tahun hadapan, seramai 200 adalah wanita.


"Ini bagi meningkat dan memperkasakan lagi perkhidmatan polis wanita," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Pegawai Rendah Polis Wanita oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini, Rabu.

Mohd Fuzi berkata PDRM kini mempunyai 113,666 anggota dan daripada jumlah itu, 11.7 peratus adalah wanita.

Dalam ucapannya, Rohani berkata golongan wanita perlu mempunyai ilmu seni mempertahankan diri bagi melindungi diri dan keluarga daripada perlakuan jenayah.

Ilmu ini boleh membantu golongan wanita menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa jenayah seperti ragut dan keganasan rumah tangga, katanya.

Rohani juga berkata kes-kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan meningkat dari kira-kira 2,000 tahun lepas kepada 3,000 setakat Nov tahun ini.

"Peningkatan ini adalah kerana kesedaran orang ramai yang kini berani tampil membuat aduan," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...