Gambar hiasan |
DUA TANGAN, KAKI KIRI DITEMUI DI SIMPANG AMPAT
NIBONG TEBAL, 30 Nov (Bernama) -- Dua belah tangan dan kaki kiri
dari paras lutut hingga tapak kaki ditemui terapung di tali air belakang sebuah
stesen minyak di Simpang Ampat, di sini hari ini.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata anggota badan
manusia itu ditemui pekerja stesen minyak tersebut pada 7 malam.
"Kaki
kiri yang ditemui itu lengkap berseluar jeans biru dan ia sepadan dengan kaki
kanan yang ditemui di tali air Jalan Kampung Permatang, Sungai Bakap semalam,"
katanya kepada pemberita di tempat kejadian, di sini.
Jarak
antara Simpang Ampat dan Sungai Bakap kira-kira tiga kilometer dan polis
percaya anggota badan itu milik warga asing kerana tiada suntikan BCG, katanya
sambil memberitahu dua belah tangan dan kaki kiri itu dihantar ke Hospital
Sungai Bakap.
Semalam,
kaki kanan dari paras lutut hingga tapak kaki ditemui terapung di tebing tali
air di Jalan Kampung Permatang, tidak jauh dari lokasi mayat seorang lelaki
tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui pada Khamis lepas.