Selasa, 25 November 2014

Pergaduhan Ngeri Kongsi Gelap, Seorang Maut

TEMERLOH: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera parah dalam pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap di Bukit Bendera, Mentakab dekat sini awal pagi Sabtu, menurut polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang Datuk Zakaria Ahmad berkata dalam pergaduhan kira-kira 3.20 pagi itu, mangsa P.Arasu, 44, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

"Polis percaya sebuah motosikal diletakkan di atas badan mangsa yang cedera parah sebelum motosikal berkenaan dibakar," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada Sabtu.

Pergaduhan di hadapan rumah Persatuan Kebajikan Sukan dan Rekreasi di Bukit Bendera itu melibatkan penggunaan senjata tajam seperti besi dan kayu, katanya.

Zakaria berkata, empat mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk rawatan dan akan ditahan untuk siasatan.

"Polis sedang memburu anggota kumpulan yang terbabit dalam pergaduhan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta kesalahan merusuh," katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...