Selasa, 25 November 2014

Sarjan bersara dua tahun lagi dijatuhi hukuman penjara


SHAH ALAM - Seorang sarjan polis yang bakal bersara dua tahun lagi dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memperoleh suapan berjumlah RM1,000 daripada seorang wanita, tiga tahun lepas.

Hakim M.Bakri Abd. Majid membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan tertuduh, Abdul Rahman Abdullah, 58, adalah penafian semata-mata dan difikirkan kemudian.

Beliau juga berpuas hati pembelaan anggota polis itu gagal mematahkan anggapan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


M.Bakri ketika menjatuhi hukuman turut memerintahkan Abdul Rahman, dari Batu Caves dekat ini, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Abdul Rahman didakwa memperoleh suapan RM1,000 daripada Tengku Sharipah Aini Tengku Hamzah sebagai dorongan supaya anak wanita itu Engku Mohamad Husaini Engku Mahusin tidak dituduh di mahkamah atas kesalahan mencuri motosikal.

Anggota polis itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak didakwa melakukan kesalahan di Maybank Cawangan Bangi, kira-kira pukul 5 petang pada 11 Mei 2011.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...