Gambar hiasan |
SEPANG, 16
Disember: Seorang lelaki yang bergelar ‘Datuk’ ditahan bersama tujuh suspek
termasuk dua pensyarah institut pengajian tinggi pada 6 dan 7 Disember lalu
kerana disyaki terlibat dalam kes curi lukisan bernilai RM1.5 juta.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten
Komisioner Mohd Yusoff Awang berkata, lelaki yang bergelar ‘Datuk’ itu
dipercayai pemilik galeri lukisan yang terbabit mencuri enam lukisan milik
pelukis warga China.
Menurutnya, suspek pertama yang
dipercayai suspek utama ditahan di rumahnya di Damansara kira-kira jam 8.30
malam pada 6 Disember lalu dan polis menemui enam lukisan di kediaman suspek.
“Susulan tangkapan itu, polis menahan
tujuh suspek lain berusia 19 hingga 69 tahun pada keesokkan harinya,” katanya
pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati
lukisan yang dicuri adalah milik pelukis terkenal China, Chen Shijik, 54 yang
datang ke negara ini untuk menyertai pameran lukisan anjuran kerajaan Selangor
yang diadakan di Kuala Selangor.
Mohd Yusoff berkata, hasil lukisan
mangsa dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
pada 8.30 pagi, 20 November lalu ketika mangsa mahu mengambil barangan di
bahagian bagasi lapangan terbang berkenaan.
Beliau difahamkan, semua lukisan
bertemakan puncak Gunung Everest yang dihasilkan mangsa dilukis antara 1999
hingga 2011 pada ketinggian kira-kira 2,100 meter daripada aras laut.
Siasatan mendapati semua suspek yang
ditahan dipercayai menaiki pesawat sama dengan mangsa dari Beijing ke Kuala
Lumpur pada 20 November lalu.