Ahad, 21 Disember 2014

Dua Rakyat Malaysia Ditahan Disyaki Seludup Dadah Ke Singapura


SINGAPURA: Seorang remaja antara dua lelaki rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup dadah, ditahan pihak berkuasa Singapura dalam insiden berasingan di sini, Khamis.

Kira-kira 5.9kg ganja dan 465g heroin dianggarkan bernilai lebih S$227,000 (S$1=RM2.64) di pasaran gelap, dirampas daripada kedua-dua suspek.
Dalam kenyataan akhbar bersama, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata suspek berumur 18 dan 23 tahun itu, masing-masing ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Pusat Pemeriksaan Tuas.

Dalam kes pertama pada kira-kira 7.55 malam, pegawai ICA melakukan pemeriksaan rutin pada sebuah kereta didaftarkan di Malaysia yang dipandu remaja itu di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Mereka menjumpai dua blok dalam bungkusan putih, disyaki ganja, dalam kompartmen penapis udara di bahagian depan enjin kereta sebelum memaklumkannya kepada pegawai CNB mengenai penemuan tersebut.
Hasil pemeriksaan lanjut, pegawai CNB menemukan empat lagi blok disyaki ganja, disorok di belakang tempat duduk pemandu dan tempat duduk belakang penumpang kereta itu.
Sebanyak enam blok ganja, seberat kira-kira 5.9g yang bernilai lebih SS$195,000 di pasaran gelap, dirampas daripada suspek.
Kira-kira 9.45 malam hari yang sama, pegawai ICA di Pusat Pemeriksaan Tuas menahan sebuah kereta didaftarkan di Malaysia yang tiba untuk pemeriksaan yang dipandu suspek berumur 23 tahun itu.
Semasa pemeriksaan, pegawai menemukan bungkusan hitam mengandungi kira-kira 465g heroin dalam ruang tempat letak tangan dalam kereta itu dengan nilai kira-kira S$32,000 di pasaran gelap.
Suspek berdepan hukuman mati, jika sabit kesalahan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...