Rabu, 3 Disember 2014

Nenek trauma diacu pisau di Besut


Besut - Seorang nenek berdepan detik cemas apabila lehernya diacu pisau oleh seorang penjenayah sebelum meragut rantai lehernya di Kampung Batu 12, Bekok, di sini, dekat Hulu Besut, kelmarin.

Akibat peristiwa hitam itu, mangsa yang berada bersama suami ketika kejadian mengalami trauma sehingga tidak lena tidur dan rasa berdebar-debar.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Fatimah Abas, 67, sedang menyapu di halaman rumah sebelum didatangi seorang penjenayah bersenjatakan pisau.


Menurutnya, sebelum itu dia menyapu di penjuru depan rumahnya manakala suami, Abdullah Ibrahim, 77, sedang meracun di belakang rumah.

“Makcik tidak sedar kehadiran lelaki itu. Makcik sedar dia sudah di belakang makcik lalu meletakkan pisau di leher kiri sambil tangannya terus meragut rantai leher yang makcik pakai.

“Makcik menjerit tetapi tidak didengari pakcik dan lelaki itu menarik sebanyak tiga kali baru rantai putus,” katanya yang ditemui, semalam.

Fatimah berkata, apabila penjenayah itu berjaya meragut rantai lehernya, dia bertindak memukul tangan suspek dengan batang penyapu menyebabkan rantainya terjatuh di atas tanah.

Bagaimanapun katanya, suspek mengambil semula rantai tersebut lalu melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diletakkan di tepi jalan hadapan rumah dan menuju ke arah Keruak.

“Selepas dia melarikan diri baru makcik dapat menjerit minta tolong dan kemudian jiran datang setelah mendengar jeritan makcik.

“Makcik bersyukur kerana tidak diapa-apakan penjenayah walaupun makcik pukul tangannya.

"Makcik geram kerana orang itu curi rantai yang makcik dapat dengan susah payah bertahun-tahun,” katanya.

Namun Fatimah bersyukur kerana dia hanya mengalami calar di leher kesan rantai lehernya disentap kuat.

Katanya, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian dianggarkan  RM6,000 apabila rantai emas dilarikan penjenayah terbabit, manakala gelang tangan tidak sempat dilarikan suspek.

Fatimah kemudian membuat laporan di Balai Polis Pasir Akar untuk tindakan lanjut.

"Kejadian ini  pertama kali makcik alami dan juga yang pertama di Kampung Bukit Payong pada tahun ini,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Ceh Lah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.


Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan dan usaha mengesan serta memburu suspek sedang dilakukan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...